
Aku REDHA...
Allah Sebagai Tuhanku
Islam Agamaku
Sayyidina Muhammad (shallallahu ‘alaihi wasallam)
Nabi & Rasul-NYA
Slogan inilah yang menghidupkan ruh para Ikhwan Gerak Rahsia Batin (Silat al-Fatih) kepada sebuah kehidupan yang sejati dan diredhai Allah. Ungkapan ini akan menjadi dasar kepada segala gerak kerja para Ikhwan agar segala apa yang mereka lakukan tetap di atas garis panduan Syari'at Allah.
Memahami sebuah makna "Aku Redha..." bukan sekadar kefahaman menerima sebaliknya Menyerah sepenuhnya jiwa dan raga kepada Allah dan Rasul di bawah panji Islam sebagai ad-Din. Menerima merupakan sebuah konsep yang boleh dipertikaikan lagi ketelusannya kerana ia boleh diperdayakan dengan sebuah sikap yang menunjukkan penerimaan. Seorang murid sebagai contoh, boleh kelihatan sedang khusyu' membuat catatan salinan pengajaran gurunya sedangkan bila dihampiri dari dekat dia sebenarnya sedang melakar sesuatu yang langsung tidak ada kena-mengena dengan pembelajarannya. Dari sebuah sikap (luaran) wujud kepatuhan tetapi dari sebuah sifat (dalaman) tiada kesetiaan. Demikianlah sebuah sikap yang boleh dizahirkan tetapi tidak wujud kesejatiannya dalam jendela batinnya. Berbeza dengan sebuah makna Penyerahan. Apabila seseorang mengungkapkan sebuah kepasrahan, itu bermakna ia lahir dari kemurnian hatinya lantas terdampak pada luaran akhlaknya dalam realiti perlakuan kehidupan yang penuh kesedaran dan keikhlasan.
Kerana itu apabila Ikhwan Gerak Rahsia Batin (Silat al-Fatih) mengungkapkan "Radhitu billahi Rabba, wa bil-islami diina, wabi-muhammadin nabiyyan wa-rasuula," itu bermakna ia telah tenggelam di dalam lautan kepasrahan yang terdalam yang dengannya hiduplah sebuah kehidupan kehambaannya ('ubudiyah) dengan menjunjung kemuliaan Syari'ah Muhammadiyyah atas kesedaran "Sami'na wa-atho'na" (kami dengar dan kami taat). Mereka tidak bertanya...tetapi MELAKUKANNYA dengan penuh keimanan.
Segalanya untuk ALLAH...
Segalanya untuk RASULULLAH (shallahu ‘alaihi wasallam)...
Demi Sebuah Cinta yang Di Dambakan

